Tuesday, October 9, 2007

Salam Lebaran


salam lebaran untuk semua!


::mysterious::

Monday, October 8, 2007

Sulaiman al-Hakim

“DAN sesungguhnya Kami mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Sulaiman; dan mereka berdua berkata: Segala puji bagi Allah yang memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman.” (an-Naml: 15)

Jika Nabi Daud mempunyai kehebatan tersendiri, puteranya Nabi Sulaiman as tidak kurang hebatnya, malah mempunyai kekuasaan merentasi bumi sehingga haiwan dan jin berkhidmat untuknya.


Baginda adalah nabi dan raja dari kalangan Bani Israel dan diberi gelaran oleh ahli kitab sebagai Sulaiman al-Hakim kerana mempunyai hikmah (kebijaksanaan) yang agung.

Nabi Sulaiman mendirikan dan memakmurkan Baitulmaqdis dalam tempoh tujuh tahun, sesuai dengan wasiat bapanya, Nabi Daud selepas 40 tahun menguasai kerajaan.

Diceritakan, ketika mendirikan Baitulmaqdis, baginda berdoa meminta tiga jenis kesenangan daripada Tuhannya, tetapi diberikan kepadanya dua perkara.

Nabi Sulaiman meminta menjadi hakim yang dapat menentukan hikmahnya, maka Allah memberikan kepadanya.

Baginda meminta menjadi raja yang tidak patut diberikan kepada seseorang selepasnya, Allah turut memberikan kepadanya.

Perkara ketiga, baginda meminta sesiapa saja di kalangan lelaki yang keluar dari rumahnya tidak bermaksud buruk kecuali mengerjakan solat di masjid itu dan dihilangkan kesalahannya bagaikan hari ketika dia dilahirkan ibunya.

Selesai membangunkan Baitulmaqdis, baginda membangunkan Haikal (istana kerajaan). Ahli sejarah mengatakan pembangunan itu mengambil masa 13 tahun dan diadakan penyembelihan korban.

Allah mengurniakan padanya kenikmatan dan keistimewaan sebagai tanda kebesaran dan pujian, memperlihatkan kerajaan yang besar, mewariskan kepadanya kerajaan bapanya, Nabi Daud.

Diajar padanya perbicaraan burung dan semua bahasa haiwan, membolehkannya memahami perkara yang tidak difahami manusia lain, malah haiwan kadangkala bercakap bersamanya, seperti burung hud-hud.

“Dan Nabi Sulaiman mewarisi (pangkat kenabian dan kerajaan) Nabi Daud; dan (selepas itu) Nabi Sulaiman berkata: Wahai umat manusia, kami diajar bahasa pertuturan burung, dan kami diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu; sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia yang nyata.”

Dan dihimpunkan bagi Sulaiman bala tenteranya, daripada jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.

Sehingga apabila mereka sampai ke Waadi’n-Naml, berkatalah seekor semut: Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari.

Maka tersenyum Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya aku bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kedua ibu bapaku, dan supaya aku tetap beramal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku dengan limpah rahmat-Mu dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang salih.” (an-Naml: 16-19)

Baginda juga mempunyai kuasa mencairkan tembaga, menundukkan angin, jin dan syaitan, sebagaimana diterangkan dalam al-Quran.

“Dan bagi Sulaiman, Kami tundukkan angin untuk perjalanannya di waktu pagi sebulan, dan petangnya sebulan; dan Kami alirkan bagi-Nya mata air dari tembaga; dan sebahagian dari jin untuk bekerja di depannya dengan izin Tuhannya. Dan sesiapa daripada jin itu yang menyeleweng daripada perintah Kami, Kami akan rasakannya azab neraka.” (Saba’: 12)

Mengenai penguasaannya terhadap jin dan syaitan seperti diterangkan dalam surah Shaad, ayat 37-38, maksudnya: “Dan Kami mudahkan baginya memerintah jin syaitan; semuanya pandai mendirikan bangunan dan ahli penyelam. Dan jin-jin syaitan yang lain dipasung dalam rantai-rantai belenggu.”

Al-Quran juga mengisahkan Nabi Sulaiman dengan Ratu Saba’ (Yaman), Balqis yang mempunyai kerajaan dan kekayaan tetapi menyembah matahari bersama kaumnya.

Tuhan yang masyhur bagi penduduk Saba’ ialah Asttar, al-Maqoh, Habas, Dzatu Hamim (mempunyai cahaya seperti air panas) dan Dzatu Bu’dan matahari yang jauh dari bumi. Asttar ialah anak matahari, tuhan kolam, buluh dan tali.

Nabi Sulaiman mengetahui perkara itu melalui burung hud-hud. Lalu baginda mengirim sepucuk surat melalui hud-hud kepada ratu itu, mengajak supaya mentaati Allah dan rasul-Nya, di samping tunduk kepada kekuasaannya.

Balqis bermesyuarat bersama pembesarnya lalu menghasilkan cadangan untuk berperang dengan Nabi Sulaiman.

Namun dia sendiri memutuskan untuk mengirimkan hadiah kepada Nabi Sulaiman yang ketika itu ada di Palestin.

Nabi Sulaiman enggan menerima hadiah itu, lalu utusan terbabit mengembalikannya semula. Di samping itu, utusan terbabit menceritakan kehebatan kerajaan Nabi Sulaiman dan ancamannya jika enggan sujud kepada Allah.

Balqis mahu mengunjungi Nabi Sulaiman dan sebagai persiapan, baginda memerintahkan tenteranya membangunkan istana yang indah, malah membawa istana Balqis ke tempatnya.

Tiba di istana Sulaiman, Ratu Balqis menyelak pakaiannya kerana menyangka lantai yang dipijaknya digenangi air, sedangkan ia lantai daripada kaca. Dia tambah terpegun seketika melihat istananya di tempat Nabi Sulaiman, membuatkannya berserah diri kepada Allah.

Nabi Sulaiman hidup selama 52 tahun dan menguasai kerajaan selama 40 tahun, sebagaimana diterangkan Ibnu Ishaq. Detik kewafatannya tidak diketahui manusia dan jin, sekali gus menunjukkan jin juga tidak mengetahui alam ghaib.

Beberapa tahun kemudian, iaitu selepas anai-anai memakan tongkatnya, jasadnya tersungkur ke bumi, baru semua menyedari kewafatannya. Baginda dimakamkan di Baitulmaqdis.

Friday, October 5, 2007

Tentang Kezaliman Firaun

NABI Musa a.s seorang rasul yang menghadapi tentangan cukup hebat khususnya daripada Firaun. Tetapi kesabaran dan kecekalannya tinggi, malah seorang yang berani, sehingga baginda tergolong rasul Ulul Azmi.

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Musa di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang dipilih serta seorang rasul dan nabi.” (Maryam:51)

Baginda dilahirkan pada zaman kezaliman Firaun, yang mengakui dirinya sebagai tuhan. Nama sebenar Firaun ialah Al-Walid bin Mus’ab, diberikan gelaran Firaun kerana beliau menjadi raja Mesir.

Firaun melakukan kezaliman dengan sewenang-wenangnya, sehingga menyebabkan penduduk berpecah belah, di sana sini berlaku penindasan, menyembelih anak lelaki dan membiarkan anak perempuan.



Raja yang zalim itu hidup lebih 400 tahun dalam Bani Israil. Pelbagai kerosakan dilakukannya. “Dan (ingatlah wahai Bani Israil) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan kaumnya, yang mengazab kamu dengan azab yang sangat jahat.” (al-A’raaf: 141)




Ketika Allah mahu membebaskan Bani Israil dari cengkaman Firaun, diutuskan Nabi Musa, supaya dapat memerdekakan mereka daripada kezaliman kerajaan terbabit.

As-Tha’labi menerangkan dalam kitabnya “Qashashul Anbiya” (Kisah Nabi) dari As-Sudayi, bahawa Firaun bermimpi dalam tidurnya satu mimpi menakutkan, sehingga berasa cemas dan dukacita.

Dia bermimpi seakan-akan api datang dari Baitul Maqdis sehingga ke Mesir. Api itu memusnahkan rumah dan bangunan, sehingga tiada satupun tertinggal kecuali kepunyaan Bani Israil.

Firaun memanggil ahli sihir dan ahli kaji bintang, untuk membuat takwilan mengenai mimpi itu. Lalu mereka mengatakan, akan lahir dalam masa kerajaan terbabit seorang anak lelaki dari Bani Israil.

Lelaki terbabit kelak akan mengusir kerajaan Firaun dan menggantikan agama Firaun. Disebabkan takut mimpi itu menjadi realiti, Firaun memerintah dibunuh setiap anak lelaki yang dilahirkan di kalangan Bani Israil.

“Tidak akan dilahirkan atas kekuasaan kamu sekalian anak lelaki dari Bani Israil kecuali mereka dibunuh.” kata Firaun.

Kemudian pemimpin Qibti masuk berjumpa dengan Firaun, lalu berkata: “Sesungguhnya kematian Bani Israil berlaku dalam usia tua, sedangkan kamu membunuh pada waktu mereka muda. Perbuatan kamu merisaukan kami. Tiada pelayan selain kami, jadi perintahkanlah membunuh kanak-kanak berusia setahun dan membiarkan mereka berusia setahun supaya kanak-kanak Bani Israil tidak binasa semuanya.”

Firaun memerintahkan untuk membunuh anak lelaki berusia setahun dan membiarkan mereka selama setahun.

Ketika tahun tiada penyembelihan, Harun dilahirkan, manakala Musa dilahirkan pada tahun diadakan penyembelihan.

Ibu Musa berasa takut, lalu dia kemudian diberikan ilham supaya mencampakkannya ke dalam sungai (Nil) dan diingatkan supaya tidak berasa khuatir kerana anaknya bakal dipertemukan semula dan dijadikan seorang rasul.

“Dan, Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia; maka jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya, maka lepaskanlah dia ke sungai; dan janganlah kamu takut dan bimbang; sesungguhnya Kami akan kembalikan dia kepadamu, dan akan menjadikannya seorang dari Rasul.

“Maka ia dipungut oleh keluarga Firaun; kesudahannya ia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orangnya adalah golongan yang bersalah.” (al-Qasas:7-8)

Apabila peti yang mengandungi Musa dijatuhkan ke dalam sungai, arus air itu membawanya ke rumah Firaun. Isteri Firaun, Asiah yang membuka peti itu mendapati seorang bayi, lalu dipeliharanya.

Firaun mahu membunuh bayi terbabit tetapi dihalang Asiah kerana dia seorang wanita yang tidak mempunyai anak.

“Dan berkatalah isteri Firaun: Dia cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak. Padahal mereka tidak menyedari.” (al-Qasas:9)

Nabi Musa hidup dalam peliharaan Asiah di istana Firaun, sedangkan mereka tidak menyedari anak itulah yang satu hari kelak akan meruntuhkan kekuasaan Firaun dan segala kerajaannya.

Asiah mahu menyusui dan mendidik bayi terbabit, tetapi dia menolak daripada menerima susuannya, membuatkannya sangat lapar. Dijadikan cerita, ibunya sendiri dipanggil ke istana untuk menyusuinya.

Nabi Musa semakin meniti usia remaja di istana Firaun, menjalani kehidupan seperti anak raja, malah menaiki kenderaan Firaun dan mengenakan pakaian Firaun, sehingga orang memanggilnya sebagai Musa bin Firaun.