Friday, October 5, 2007

Tentang Kezaliman Firaun

NABI Musa a.s seorang rasul yang menghadapi tentangan cukup hebat khususnya daripada Firaun. Tetapi kesabaran dan kecekalannya tinggi, malah seorang yang berani, sehingga baginda tergolong rasul Ulul Azmi.

“Dan ceritakanlah (wahai Muhammad kepada mereka) kisah Musa di dalam al-Kitab (al-Quran) ini. Sesungguhnya ia adalah seorang dipilih serta seorang rasul dan nabi.” (Maryam:51)

Baginda dilahirkan pada zaman kezaliman Firaun, yang mengakui dirinya sebagai tuhan. Nama sebenar Firaun ialah Al-Walid bin Mus’ab, diberikan gelaran Firaun kerana beliau menjadi raja Mesir.

Firaun melakukan kezaliman dengan sewenang-wenangnya, sehingga menyebabkan penduduk berpecah belah, di sana sini berlaku penindasan, menyembelih anak lelaki dan membiarkan anak perempuan.



Raja yang zalim itu hidup lebih 400 tahun dalam Bani Israil. Pelbagai kerosakan dilakukannya. “Dan (ingatlah wahai Bani Israil) ketika Kami menyelamatkan kamu dari (Firaun) dan kaumnya, yang mengazab kamu dengan azab yang sangat jahat.” (al-A’raaf: 141)




Ketika Allah mahu membebaskan Bani Israil dari cengkaman Firaun, diutuskan Nabi Musa, supaya dapat memerdekakan mereka daripada kezaliman kerajaan terbabit.

As-Tha’labi menerangkan dalam kitabnya “Qashashul Anbiya” (Kisah Nabi) dari As-Sudayi, bahawa Firaun bermimpi dalam tidurnya satu mimpi menakutkan, sehingga berasa cemas dan dukacita.

Dia bermimpi seakan-akan api datang dari Baitul Maqdis sehingga ke Mesir. Api itu memusnahkan rumah dan bangunan, sehingga tiada satupun tertinggal kecuali kepunyaan Bani Israil.

Firaun memanggil ahli sihir dan ahli kaji bintang, untuk membuat takwilan mengenai mimpi itu. Lalu mereka mengatakan, akan lahir dalam masa kerajaan terbabit seorang anak lelaki dari Bani Israil.

Lelaki terbabit kelak akan mengusir kerajaan Firaun dan menggantikan agama Firaun. Disebabkan takut mimpi itu menjadi realiti, Firaun memerintah dibunuh setiap anak lelaki yang dilahirkan di kalangan Bani Israil.

“Tidak akan dilahirkan atas kekuasaan kamu sekalian anak lelaki dari Bani Israil kecuali mereka dibunuh.” kata Firaun.

Kemudian pemimpin Qibti masuk berjumpa dengan Firaun, lalu berkata: “Sesungguhnya kematian Bani Israil berlaku dalam usia tua, sedangkan kamu membunuh pada waktu mereka muda. Perbuatan kamu merisaukan kami. Tiada pelayan selain kami, jadi perintahkanlah membunuh kanak-kanak berusia setahun dan membiarkan mereka berusia setahun supaya kanak-kanak Bani Israil tidak binasa semuanya.”

Firaun memerintahkan untuk membunuh anak lelaki berusia setahun dan membiarkan mereka selama setahun.

Ketika tahun tiada penyembelihan, Harun dilahirkan, manakala Musa dilahirkan pada tahun diadakan penyembelihan.

Ibu Musa berasa takut, lalu dia kemudian diberikan ilham supaya mencampakkannya ke dalam sungai (Nil) dan diingatkan supaya tidak berasa khuatir kerana anaknya bakal dipertemukan semula dan dijadikan seorang rasul.

“Dan, Kami ilhamkan kepada ibu Musa: Susukanlah dia; maka jika engkau takutkan sesuatu bahaya mengenainya, maka lepaskanlah dia ke sungai; dan janganlah kamu takut dan bimbang; sesungguhnya Kami akan kembalikan dia kepadamu, dan akan menjadikannya seorang dari Rasul.

“Maka ia dipungut oleh keluarga Firaun; kesudahannya ia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; sesungguhnya Firaun dan Haman serta orangnya adalah golongan yang bersalah.” (al-Qasas:7-8)

Apabila peti yang mengandungi Musa dijatuhkan ke dalam sungai, arus air itu membawanya ke rumah Firaun. Isteri Firaun, Asiah yang membuka peti itu mendapati seorang bayi, lalu dipeliharanya.

Firaun mahu membunuh bayi terbabit tetapi dihalang Asiah kerana dia seorang wanita yang tidak mempunyai anak.

“Dan berkatalah isteri Firaun: Dia cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak. Padahal mereka tidak menyedari.” (al-Qasas:9)

Nabi Musa hidup dalam peliharaan Asiah di istana Firaun, sedangkan mereka tidak menyedari anak itulah yang satu hari kelak akan meruntuhkan kekuasaan Firaun dan segala kerajaannya.

Asiah mahu menyusui dan mendidik bayi terbabit, tetapi dia menolak daripada menerima susuannya, membuatkannya sangat lapar. Dijadikan cerita, ibunya sendiri dipanggil ke istana untuk menyusuinya.

Nabi Musa semakin meniti usia remaja di istana Firaun, menjalani kehidupan seperti anak raja, malah menaiki kenderaan Firaun dan mengenakan pakaian Firaun, sehingga orang memanggilnya sebagai Musa bin Firaun.

No comments: